"Ayah! Cepatlah! Thariq dah lambat nak pergi sekolah ni!" Masam mencuka wajah Thariq di depan pintu menunggu ayahnya yang sedang menyiapkan bekalan sekolah untuknya.
"Kejaplah. Ayah tengah nak letak nasi goreng dalam bekas ni." Ayahnya cepat-cepat mencapai penutup bekas makanan. Sedikit keluhan dilepaskan.
"Dah. Jom. Nanti lambat pulak nak ke sekolah." Ujar Arman kepada anaknya yang menunggu di depan pintu sambil menghulurkan beg sekolah anaknya. Sedikit senyuman dihadiahkan buat Thariq dengan harapan mampu menyejukkan kemarahan hati si kecil itu.
"Alah, kalau lambat pun sebab ayahlah. Tak payah nak tapau makanan pun. Thariq boleh beli kat kantin la ayah. Nanti lambat, Thariq yang kena marah dengan cikgu, bukannya ayah!" Terkedu wajah Arman di muka pintu mendengar kata-kata anaknya.
Segera dia beristighfar. Bimbang hati lelakinya akan dicucuk-cucuk syaitan yang mungkin mengundang kemarahannya buat si anak.
Bagi Thariq, dia sengaja berkata begitu kepada ayahnya untuk melepaskan kemarahan kerana semalam adalah hari jadinya. Namun, tiada hadiah yang diberikan ayah kepadanya. Bahkan ucapan selamat hari lahirpun tiada. Terkadang terasa bahawa ayahnya tidak langsung menyayanginya.
Setelah sampai di hadapan sekolah, segera Thariq keluar dari pintu kereta tanpa menyalami tangan Arman seperti biasa. Merajuk barangkali. Sekadar menggelengkan kepala, Arman ingin segera beredar.
"Thariq!" Satu suara yang dikenalinya sayup-sayup kedengaran. Faruqi melambai-lambai dari jauh. Tersengih-sengih Faruqi menunjukkan giginya yang sedikit jarang.
"Eh Thariq. Jap lagi aku nak tengok kau punya praktikal Sains minggu lepas. Hehe.. Nak check betul atau tak aku punya ni."
"Sains? Eh, hari ni mana ada subjek Sains." Berkerut-kerut dahi Thariq dengan pertanyaan Faruqi. Hatinya mula berdebar kerana dia amat yakin yang buku itu ditinggalkan di rumah.
"Memanglah Sains takde. Tapi Cikgu Latifah kan suruh hantar buku tu hari ni. Jangan pulak kau kata tak bawak. Habislah kau." Kata Faruqi sekadar mengusik.
"Hah? Serius ke? Alamak! Aku memang tak bawak la. Macam mana ni? Aduh, mesti kena marah lagi." Thariq sudah menarik-narik tali lehernya. Terasa seakan tersesak nafasnya dek terlalu risau.
"Kau pergilah telefon ayah kau suruh pergi ambik jap. Bukannya jauh pun office ayah kau dengan rumah."
"Aku baru je lepas marah ayah. Nak ke ayah pergi ambik buku aku? Takpe lah. Cuba je dulu." Thariq berkira-kira dalam hati.
Terus dia menuju ke telefon awam yang berada di tepi pondok pengawal.
.....
Arman sudah sampai di parking lot pejabatnya. Dilihat jam di tangan sudah 7.50 pagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
"Ayah! Thariq ni." Kedengaran suara anak kecilnya di talian. "Oh, Thariq. Kenapa nak?"
"Em.." Thariq sedikit teragak-agak.
"Ayah, Thariq tertinggal buku praktikal kat rumah. Kena hantar hari ni. Kalau tak cikgu marah. Ayah tolong hantarkan, boleh tak? Buku tu ada kat atas meja dalam bilik."
"Oh." Arman kembali melihat jam di tangan.
"Ok, jap lagi ayah hantarkan." Arman sudah serba salah.
Pagi ini dia perlu menemani ketuanya untuk bermesyuarat dengan syarikat penaja pengiklanan untuk produk terbaru keluaran syarikatnya yang bermula pukul 8.15 pagi. Tetapi yang pastinya dia tidak mahu anak kesayangannya itu dimarahi guru. Biarlah dia yang berkorban sedikit buat anak tunggalnya itu.
Seperti yang dijangka, Arman dimarahi ketuanya kerana terlambat ke pejabat semula setelah menghantar buku Thariq. Dia tidak menceritakan apa sebenarnya yang terjadi kerana sudah seringkali anaknya menjadi sebab atas kelewatannya ke tempat kerja. Bagi Arman, kesalahan itu memang terletak di atas bahunya sendiri kerana tidak pandai dalam mengurus masa dan kehidupannya dengan baik.
"Siti, kalaulah awak masih di sisi abang." Tiba-tiba hatinya terasa sayu mengenangkan arwah isterinya.
Isterinya yang meninggal dunia kerana lemas ketika menyelamatkan Thariq yang mandi di laut lima tahun yang lalu. Kejadian yang benar-benar memberikan tamparan hebat buat dirinya.
Arman masih teringat bila mana dia yang ketika itu sedang berada di Indonesia atas urusan kerja tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada mertuanya. Satu panggilan yang benar-benar meluruhkan jantungnya. Kehilangan seorang isteri tersayang.
"Sebab kaulah isteri aku mati!" terbayang di ingatannya saat dia memarahi Thariq kerana tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya. Anak kecil yang baru berusia lima tahun yang masih tidak dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku hanya meraung-raung di sisi neneknya kerana dimarahi ayah.
Setelah peristiwa itu, setahun Thariq ditinggalkan di bawah penjagaan mertuanya. Arman yang pergi membawa diri. Sehinggalah pada suatu hari dia menerima berita bahawa anaknya demam panas.
Walaupun hatinya masih sakit, namun naluri kebapaannya masih kuat. Di saat dia menatap wajah sugul anaknya yang mirip dengan arwah isterinya, ego lelakinya runtuh. Dipeluknya Thariq sekuat hati.
"Maafkan ayah, nak. Ayah tak patut salahkan Thariq. Bukan salah Thariq." Teresak-esak Arman melutut di sisi anaknya. Menyesali akan perbuatannya, Arman sudah berjanji untuk menjaga Thariq sebaik mungkin dan melunaskan janjinya buat arwah isterinya.
Janji yang dibuat saat Thariq dilahirkan ke dunia. Janji untuk mendidik anak itu sebaik mungkin supaya menjadi buah amal di Akhirat kelak.
Alhamdulillah, Allah S.W.T masih memberikan peluang kepadanya untuk berusaha menjadi seorang ayah kepada Thariq. Walaupun terkadang kerenah anaknya itu benar-benar mencabar kesabarannya, namun Arman seringkali terkenangkan perbuatannya yang meninggalkan Thariq selama setahun dan hanya menjenguknya beberapa kali.
"Mungkin ini adalah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada aku atas sebab perbuatan aku dulu. Dan semuanya sebab Allah S.W.T sayang aku. Allah S.W.T nak peringatkan tentang kesilapan aku," kata-kata yang seringkali ditekankan Arman sebagai sebuah peringatan buat dirinya sendiri.
.....
Selesai Pendidikan Jasmani pada waktu pagi, Thariq masuk ke kelas untuk menukar baju. Hanya beberapa orang rakannya berada dalam kelas sedangkan yang lain masih berlegar-legar di kantin untuk mengisi tekak yang kehausan. Apabila dibuka beg sekolahnya, matanya terpandang sebuah bungkusan kecil yang dibalut kemas berada di dalam beg.
Dalam kehairanan, dia membuka bungkusan tersebut. Dia tersenyum riang melihat seutas jam tangan yang diidam-idamnya selama ini berada di dalam kotak itu dan sekeping kad terselit di dalamnya. Thariq membuka kad tersebut.
Buat buah hati ayah yang tersayang,
Selamat hari lahir yang ke-10. Ayah minta maaf sebab terlambat bagi hadiah ni pada Thariq. Ayah memang teringin untuk sambut birthday Thariq semalam tapi ayah dah tertidur.
Thariq,
Ayah betul-betul nak minta maaf sebab tak mampu menjadi ayah yang terbaik buat Thariq. Ayah tak mampu nak masak makanan kegemaran Thariq sedap-sedap, ayah tak mampu nak siapkan baju sekolah untuk Thariq pagi-pagi, ayah tak mampu nak luangkan masa untuk bermain dengan Thariq setiap hari, ayah tak mampu nak tolong Thariq siapkan kerja rumah, ayah tak mampu nak belikan semua barang mainan yang Thariq minta. Banyak perkara yang tak mampu ayah buatkan untuk Thariq.
Mungkin sebab ayah hanyalah seorang ayah. Ayah tak mampu menjadi sesempurna seorang ibu yang mampu memberikan kelembutan kasih sayang yang lebih baik buat Thariq. Tapi ayah harapkan dalam kekurangan ini, ayah mampu membuatkan Thariq bahagia seadanya. Dan ayah nak Thariq tahu yang ayah benar-benar sayangkan Thariq. Setiap masa.
Ikhlas,
Ayah.
Basah pipi si anak kecil. "Ayah, maafkan Thariq." Ada sedikit kekesalan di hati Thariq atas sikapnya pagi tadi. Jauh di sudut hati, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Ingin menemui ayah yang tersayang.
.....
Kring!!! Loceng sekolah berbunyi.Tidak seperti biasa, Thariqlah orang pertama yang keluar dari kelasnya menuju ke pintu pagar.
Di bibirnya tersenyum riang apabila terbayang ayahnya menunggu di dalam kereta dan sebuah pelukan erat ingin diberikan buat ayahnya. Bukan atas penghargaan hadiah yang diberikan ayahnya semata-mata, tetapi kerana pada saat ini, Thariq benar-benar ingin ucapkan sebuah kata-kata yang tidak pernah diucapkannya buat ayah selama ini.
Kata-kata yang disimpan dek kerana hatinya yang dipenuhi pelbagai prasangka buruk terhadap kasih sayang ayah kepadanya. Mungkin kerana tamparan kisah silam yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya.
Sampai di depan pintu pagar, masih belum nampak kelibat ayahnya. Hatinya tiba-tiba terasa kurang enak. Ditepisnya pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri.
Ayah Faruqi sudah sampai dengan wajah yang agak cemas. Dia kelihatan sedang menjelaskan sesuatu kepada Faruqi, perasaan ingin tahu Thariq membuak-buak dalam hati.
"Thariq, kereta ayah kau Myvi hitam, kan?" tanya Faruqi.
Muka Thariq berubah.
"A'ah. Kenapa?" Thariq bertanya dengan perasaan berdebar-debar.
"Em.. ada kereta Myvi hitam accident kat depan simpang sana. Ayah aku nak patah balik pergi tengok. Kau nak ikut?"
Thariq seperti kehilangan nafas seketika. Jantungnya berdegup kencang. Tidak mampu bersuara, dia sekadar mengangguk.
Di simpang tiga itu kelihatan orang ramai sudah berkerumun. Sebuah ambulan sudah berada di tempat kejadian dan kelihatan polis trafik sedang mengawal lalu lintas yang mulai sesak.
Air mata Thariq kelihatan sudah mula menitik. Langkahnya kaku melihat kereta Myvi yang remuk itu.
"Ayah... Ayah!!" Thariq berlari menuju ke arah sebujur tubuh yang sudah ditutupi kain putih.
"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Ayah! Jangan tinggalkan Thariq sorang diri. Mak dah takde. Takkan ayah pun nak tinggalkan Thariq jugak. Ayah!" Thariq meraung sambil tangannya memeluk erat tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Terasa gelap seketika dunianya.
"Thariq?" terasa bahunya disentuh lembut. Dengan pandangan mata yang kabur disebabkan air mata yang berlinangan, Thariq memandang ke belakang. Yang kelihatan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya memandangnya dengan pandangan kehairanan.
"Ayah!" dipeluk erat tubuh ayahnya. Arman hanya tercengang kurang mengerti. Melihat sekeliling dan matanya terpandang sebuah Myvi hitam yang remuk teruk tersadai di tepi jalan. Barulah dia mengerti apa yang sebenarnya terjadi.
"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Thariq mintak maaf sebab kasar dengan ayah pagi tadi. Jangan tinggalkan Thariq lagi, ayah," Teresak-esak Thariq memeluk ayahnya. Dalam hati, sejuta kesyukuran bertandang apabila menyedari ayahnya masih di sisi. Arman tersenyum memandang anaknya.
Perasaan gelisah bila melihat anaknya tiada di depan pintu pagar sekolah benar-benar terubat kini. Jika tidak kerana pengawal sekolah yang memberitahunya bahawa Thariq telah pulang bersama Faruqi, mungkin dia telah hilang arah untuk mencari anaknya yang tiada di sekolah.
.....
Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam. Arman bersiap-siap untuk tidur. Pakaiannya dan Thariq sudah siap digosok. Bimbang jika esok terlewat bangun lagi. Di fikirannya sedang berkira-kira sarapan apa yang ingin disiapkan buat anaknya.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan.
"Ayah, boleh Thariq tidur dengan ayah?" Ujar Thariq teragak-agak sambil tangannya memegang bantal busuk Doraemonnya.
Arman tersenyum. Hatinya terasa bersyukur dengan perubahan sikap Thariq yang tiba-tiba.
Adakah kejadian hari ini benar-benar terkesan di hati anaknya?
Thariq naik ke katil lantas meletakkan kepalanya di bantal sebelah ayahnya.
"Selamat malam Thariq. Jangan lupa baca doa tidur," Arman tersenyum sambil menutup lampu.
"Selamat malam ayah. Thariq sayang ayah." Arman terkedu dalam kegelapan. Kata-kata yang dinanti-nantikan selama ini. Kata-kata yang benar-benar dirindui untuk didengari oleh Arman.
Setitis air mata mengalir ke pipinya.
"InsyaAllah, esok Tuhan pasti menjanjikan hari yang lebih baik buat kita berdua." Bisik Arman dalam hatinya.
Nota: Hargailah kedua ibubapa yang masih berada di sisi. Kerana kita tidak akan pernah tahu apa yang bakal menanti pada esok hari.
No comments:
Post a Comment