Elegant Rose - Working In Background Suka Dan Duka Dikongsi Bersama: ~Mak, Saya Sayang Mak~

Pembaca Setia Blogku

Thursday, January 19, 2012

~Mak, Saya Sayang Mak~

Isk.. isk.. isk.. Aku menangis, aku terkedu. Ya Allah, Kau ampunkanlah aku dan cucurilah roh ibuku di kalangan orang yang beriman.

Hamba-Mu ni anak yang derhaka, anak yang tidak mengenang jasa.

Hamba-Mu ini tak tahu menilai intan dan kaca.

Hamba-Mu ni alpa dan asyik dengan keseronokan dunia, bangga dengan diri sendiri, ego...

Kini semuanya tidak berguna lagi, ibuku telah tiada.

Dan aku anak tunggalnya yang diharap-harapkannya gagal memberi kasih sayang dan menjaganya di usia tua..
Oh! Kejamnya hamba-Mu ini...

Aku mengimbau....

"Man, malu mak! Semua kawan-kawan Man mengejek Man. Mereka kata mak Man raksasa, hodoh. Ada satu mata aja."

"Biarlah Man, lama-lama mereka akan penat bercakap. Mereka akan berhenti mengata Man lagi."

"Arghhh... Man tak peduli mak. Mereka sentiasa mengejek Man.

Mak janganlah datang ke sekolah Man lagi. Man malu mak.. Man ada mak yang hodoh, mata satu. Man malu mak!"

Rizman bangun lalu pergi ke biliknya. Dia berazam nak belajar sebaik mungkin dan keluar belajar jauh dari kampungnya.

Ibunya sayu melihat anak tunggal kesayangannya itu.

Tapi dia tetap bersabar dan sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya itu.

Akhirnya Rizman berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara dalam bidang perubatan.

Dia berjaya menjadi seorang pakar bedah yang berjaya.

Sepanjang tempoh tersebut, dia tak pernah mengirim berita atau melawat ibunya di kampung.

Namun ibunya tetap gembira apabila mengetahui kejayaan anaknya dan sentiasa mendoakan kejayaan untuk anak kesayangannya itu.

Rizman seolah-olah telah melupai ibunya, dia malu kerana maknya bermata satu, hodoh ibarat raksasa.

Ibunya mendapat tahu yang Rizman kini telah bertugas ibu kota.

Anaknya itu kini menjadi doktor pakar di sebuah hospital swasta tersohor di Malaysia.

Anaknya juga telah berkahwin dengan seorang anak Dato' dan mempunyai dua orang cahaya mata - seorang putera dan seorang puteri.

Hati ibunya melonjak-lonjak ingin bertemu dengan anak kesayangannya itu.

Dia bertekad yang dia mesti berjumpa dengan anaknya di ibu kota!

Suatu hari, ibunya menaiki teksi ke ibu kota.

Dia menuju ke rumah anaknya di kawasan elit, kawasan orang-orang berada dan berjaya.

Siapa yang tak kenal anaknya – doktor pakar bedah yang berjaya dan tersohor di Malaysia!

Setiba di banglo anaknya itu, ibunya itu menekan suis loceng rumah di pagar rumah tersebut.

"Keretanya ada, lagipun hari ni hari minggu, pasti anakku ada di rumah," getus ibunya.

Seorang pembantu rumah separuh umur datang dan menanya,

"Mahu apa makcik? Nak jumpa siapa?"

"Makcik nak jumpa dengan anak makcik."

"Anak makcik? Siapa?"

"Dr. Rizman tu anak makcik, anak tunggal makcik."

"Ooo... sekejap makcik ya, nanti saya panggil tuan."

Pembantu rumah tersebut bergegas masuk ke dalam rumah untuk memaklumkan kepada Dr. Rizman.

Sebentar kemudian, Rizman keluar dengan anak sulungnya, Aiman.

"Siapa kau wahai orang tua?"

"Man.. anak mak, intan payung mak, ni mak ni. Mak baru jer sampai dari kampung."

"Mak? Mak aku dah lama tiada. Aku tiada mak yang bermata satu dan hodoh macam kamu ni. Aku orang yang berjaya, takkan mak aku rupa macam ni?"

"Ayah.. Aiman takut ayah. Nenek ni mata satu, macam hantu!"

"Kau dengar tu orang tua, berambus kau dari sini. Jangan kau cuba nak menakutkan anakku ini pula! Berambus! Kau bukan mak aku!"

"Sampai hati kau Man, ni mak ni. Mak yang membesarkan kau dari kecil hingga kau dewasa"

"Arghh.. mak aku dah tiada. Pergi kau dari sini! Jangan ganggu keluarga aku ni wahai orang tua!"

Maknya menangis dan dengan penuh hiba, maknya beredar kerana dia tidak mahu menakutkan cucunya dan menjatuhkan maruah anaknya. Dia melangkah longlai dan hilang di puput bayu...

Malam-malam yang mendatang, Rizman sering bermimpi yang dia dibakar oleh api yang marak menyala.

Api itu seolah-olah takkan padam malah semakin marak menjulang tinggi. Bisa menelan apa saja yang dibakarnya.

Rizman rasa panas yang amat membara dan dia meminta tolong untuk di keluarkan daripada panas api tersebut.

Tiba-tiba dia terdengar satu suara,

"Kau akan kekal dalam api ini selama-lamanya kerana kau telah derhaka kepada ibumu yang melahirkan dan membesarkan kamu. Maka sinilah tempat mu yang paling sesuai sehingga ke akhir masa mu!"

Rizman terkejut dan bingkas bangun dari tidurnya. Dia beristighfar.

Memikirkan mimpinya itu yang masuk kali ini dah hamper tujuh hari berturut-turut dengan mimpi yang sama.

Perasaan sebak tiba-tiba datang melanda dirinya. Dia berasa amat berdosa dengan ibunya.

Rizman bertekad. Dia mesti pergi berjumpa ibunya esok. Mesti!

Setibanya di kampung, rumah ibunya bertutup rapat dan begitu sunyi.

Rizman memberi salam namun tiada siapa yang menjawab.

Tiba-tiba, Fuad; kawan Rizman sewaktu kecil menegur Rizman.

"Hoi anak derhaka! Baru sekarang kau nak balik? Buat apa kau balik, pergilah duduk di bandar sana. Sini kampung, tempat orang susah dan tak bersekolah! Buat apa kau nak balik sini?"

"Aku nak jumpa mak aku. Aku banyak dosa dengan dia. Aku nak memohon maaf dengan dia. Kau nampak mak aku Fuad?"

"Hoh.. dah buat salah senang-senang kau nak minta maaf ya. Kau tahu tak betapa besarnya dosa kita jika kita menderhakai kedua ibu bapa kita? Kau tahu tak?" herdik Fuad.

"Aku dah sedar, aku insaf, aku nak jumpa mak aku. Mana dia Fuad?"

"Kau terlambat Man, dia dah tiada. Baru dua hari lepas dia dah kembali ke rahmatullah"

"Apa?"

Man terjelepuk ke tanah menangisi kematian ibunya. Dia sedar yang dosanya tidak akan dapat diampunkan kerana kesalahannya dengan ibunya itu!

"Sebelum mak kau meninggal, dia ada tinggalkan satu surat kat kau. Nah! Kau pikirlah sendiri."

Man mengambil surat tu dan membaca...

Ke hadapan anak mak yang mak sayangi,

Mak berbangga kerana mak ada anak yang cerdik, pandai dan berjaya. Mak tumpang gembira.
Mak gembira kerana dapat juga melihat cucu mak yang dah besar tu. Mak tahu yang Man juga sangat sayang anak Man tu sama seperti mak menyayangi anak mak.

Mak dulu ada seorang anak. Pada waktu dia kecil-kecil dahulu, anak mak ni kemalangan. Matanya tertusuk dengan ranting kayu. Matanya buta. Mak rasa sangat sedih dan susah hati. Mak rasa seperti hidup mak dah berakhir.

Mak tak sanggup melihat anak mak itu dalam keadaan buta sebelah mata. Nanti kawan-kawannya ejek dia nanti macam mana? Mak tekad. Mak akan menghadiahkan sebelah mata mak kepada anak mak ini supaya dia boleh melihat dunia yang indah ini dan berjaya di masa hadapan.

Mak tak apa. Jika anak mak berjaya maka mak amat gembira kerana anak mak berjaya kerana dia dapat melihat melalui mata mak itu. Biarlah dia melihat dunia. Mak tak kisah tentang pengorbanan mak ini.

Kini segala impian dan harapan mak dah dipenuhi. Mak tetap sayangkan anak mak. Mak ampunkan segala dosa anak mak ini. Mak doakan moga anak mak ini berjaya dunia dan akhirat.

Rizman terkedu. Air matanya pantas mengalir keluar.

Barulah dia sedar, mak yang dia selama ni dia cemuh telah memberikan matanya untuk dia supaya dia boleh berjaya dan melihat dunia.

Sesal yang tiada penghujungnya menyusup masuk ke sanubari Rizman.

"Mak! Ampunkan Rizman mak! Rizman banyak dosa dengan mak! Rizman sayang mak!"jerit Rizman.

*****

Dari Abu Hurairah R.A:

Datang seorang menemui Rasulullah S.A.W dia bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk bergaul dengan paling baiknya?" "Ibumu." Baginda S.A.W menjawab. "Kemudian siapa?", "Ibumu", "Kemudian setelahnya siapa?","Ibumu." Untuk kali berikutnya orang itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" "Ayahmu"jawab Baginda Rasulullah S.A.W.

Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kita sewaktu hayat mereka kerana keredhaan Allah datang selepas kerdhaan kedua ibubapanya!
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

No comments:

Post a Comment


♥ Tinggalkan Jejak anda disini ♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...