Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a: “Rasulullah SAW pernah bersabda: “Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya: “Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”
Huraian:
Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah.
Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau.
Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil.
Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang ‘Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)
Sebab2 Batal Wudu'
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Solat orang yang berhadas (keluar air kencing, membuang air besar dan kentut) tidak diterima (Allah) sebelum dia berwudhu.” Seorang yang berasal dari Hadramaut bertanya kepada Abu Hurairah: “Apakah hadas itu?” Abu Hurairah menjawab: “Hadas itu ertinya angin yang keluar dari lubang anus.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Seseorang yang mahu mengerjakan solat wajib berwudhu’. Terdapat 5 perkara yang membatalkan wudhu’ iaitu:
- Apabila terkeluar sesuatu dari dua jalan sama ada melalui qubul atau dubur (hadas kecil)
- Tidur yang tidak tetap punggungnya, tetapi jika tidur dengan mengiring maka tidak batal wudhu’.
- Hilang akal dengan sebab mabuk atau sakit.
- Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang bukan mahram tanpa alas atau lapik.
- Tersentuh kemaluan hadapan atau sekitar kawasan punggung lelaki, wanita atau dirinya sendiri tanpa alas. Tetapi jika tersentuh dengan belakang tapak tangan maka hukumnya tidak batal
Selain itu terdapat 11 perkara yang membatalkan Solat :
- Meninggalkan salah satu rukun solat
- Berhadas kecil atau besar
- Makan atau minum
- Terkena najis pada badan, pakaian dan tempat solat
- Melakukan pergerakan pada anggota yang besar tiga kali berturut-turut
- Berkata-kata
- Berpaling dada daripada arah kiblat
- Ketawa dengan mengeluarkan suara
- Terbuka aurat dengan sengaja
- Berubah niat
- Murtad
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(al-Bukahri)
Huraian:
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf.
Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka.
Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.
No comments:
Post a Comment