Elegant Rose - Working In Background Suka Dan Duka Dikongsi Bersama: Sebentuk Cincin Bermata Satu

Pembaca Setia Blogku

Wednesday, October 12, 2011

Sebentuk Cincin Bermata Satu

Waktu kecil-kecil dulu, aku sering cemburu pada ibu. Bukan cemburu kerana ibu lebih cantik atau menawan dariku. Tapi aku cemburu bila melihat ibu selalu membeli barang-barang keperluan dirinya yang pelbagai. Ibu selalu membeli baju-baju baru, yang kebanyakannya disimpan di dalam almari usangnya. Boleh dikatakan setiap bulan, ibu akan membeli kain ela baru untuk dibuat baju. Kadang-kadang ibu beli tanpa memberitahuku. Tahu-tahu, sudah tergantung di dalam almari. Pakaian ibu cantik-cantik dan sebagai anak yang sudah meningkat remaja (14 tahun) aku akui rasa cemburu setiap kali ibu menunjukkan pakaian barunya sedangkan aku waktu itu, jarang dibelikan persalinan yang baru.

Satu lagi yang membuat aku sebal dengan sikap ibu ialah, ibu selalu membazir duit dengan membeli barang-barang kemas yang pelbagai bentuk. Cincinnya hampir semua jari ada tersisip. Rantai leher ada lima utas. Yang satu bergulung-gulung hingga ke dada. Yang satu lagi bulat-bulat bagai kepingan syiling lima puluh sen. Ibu sanggup berhutang hanya untuk mendapatkan rantai baru. Aku tidak tahu apa keperluan semua itu. Aku lihat jiran-jiran ibu juga begitu. Kerlipan emas sarat di leher, tangan dan jemari. Aku tidak tahu apakah itu satu pemandangan biasa atau keperluan bagi orang-orang yang seusia dengan ibu.

Yang sebetulnya, aku kecil hati kerana ibu tidak pernah membelikan barang kemas walau sepasang anting-anting pun untuk aku. Aku jadi sakit hati juga kerana kakak-kakakku masih lagi mendapat sekurang-kurangnya sebentuk cincin dari ibu. Biasanyacincin yang ibu rasakan sudah lama dipakai, ibu akan berikan kepada kakak-kakakku, tetapi tidak aku. Ini membuatkan aku betul-betul sakit hati.

"Mak ni, asyik beli rantai...jee. .. kan mak dah banyak rantai.."Aku membebel satu hari bila mak menunjukkan seutas rantai yang baru dibeli. Juga secara hutang.

"Tak apalah Nana, mak saja simpan banyak-banyak. Mana tahu, mungkin berguna satu hari nanti. Lagipun rantai ni ayah kamu dah janji lama nak belikan mak dulu..."Aku muncung dengar mak jawab begitu.

"Asyik belikan mak....aje. Orang punya takde belikan pun..."Aku mencebik. Seharusnya aku anak perempuan yang bongsu patut dilebihkan dalam segala hal. Tapi ibu tidak pernah bersikap begitu.

"Ibu belikan kak yah dan kak Ani cincin, tapi Nana ibu tak belikan apa-apa pun..."

"Nana kan masih sekolah. Kalau Nana nak pakai barang kemas, tunggu dah kerja esok."Begitu selalunya ibu membahasakan aku. Sakit hati aku.

Tambah sakit hati, bila saja Ayah dapat hasil kebun lebih, ibu menukar rantainya dengan yang lebih besar lagi. Ayah tidak pula marah. Pelik aku dengan sikap ayah.

Lama-lama aku jadi malas untuk melayan sakit hatiku lagi. Bila aku terlihat cincin atau rantai baru dileher ibu, aku hanya diam saja. Aku tidak mahu bertanya apa-apa. Sehinggalah aku masuk ke asrama di bandar dan mengambil SPM. Setiap kali aku pulang dari asrama, aku lihat ibu masih dengan hobinya mengumpul barang-barang kemas.

Bila aku mendapat tawaran belajar di universiti, aku tidak tahu sama ada ibu gembira atau sebaliknya. Kerana dalam keluarga belum pernah ada anak-anaknya yang berjaya belajar di universiti. Aku tidak kisah kalau ibu tidak berbangga dengan hasil usahaku kerana sedari kecil memang cita-citaku untuk ke universiti begitu kuat sekali. Kini hasratku itu telah tercapai dan tiada apa lagi yang lebih menggembirakan selain kejayaan ini.. Aku sudah boleh hindarkan perasaan cemburu andai ibu lebih sayangkan kakak-kakakku atau ibu lebih sering membelikan pakaian atau perhiasan untuk mereka berbanding aku. Memang aku bukanlah manja sangat dengan ibu kerana 3 tahun aku di asrama.

Sepanjang tempoh itu aku tidak kisah lagi kalau ibu tidak belikan langsung apa-apa untuk aku. Aku tidak perlukan barang-barang kemas begitu dari ibu. Aku boleh beli sendiri bila aku sudah bekerja nanti. Yang penting aku sudah buktikan yang aku lebih bijak dari kakak-kakakku yang lain.

Masuk tahun kedua pengajian, aku sering mengalami lemah badan dan pening-pening yang keterlaluan. Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kelas dan ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajaranku. Aku tidak pernah mengadu pada sesiapa walau denganibu. Kerana aku tidak pernah merasakan ibu akan memberi perhatian kepadaku. Sehinggalah aku pitam sewaktu beratur mengambil makanan dan hanya tersedar bila merasakan genggaman di jemariku. Wajah ibu yang penuh garis-garis halus itu aku tatap pilu dan terasa ada getaran dalam dadaku. Betapa aku tidak pernah membelek wajah itu sungguh-sungguh sebelum ini. Dan baru aku sedari betapa berbezanya wajah ibu kini.

Aku cuba bersikap seperti biasa bila doktor memaklumkan akan keganjilan darahku yang menyebabkan ia tidak dapat mengalir senormal mungkin. Penyakitku belum diketahui, tetapi darahku harus dicuci. Aku juga harus menjalani pembedahan dibahagian buah pinggang. Sejak itu ibu mengunjungiku saban hari. Dia membawakan apa-apa saja yang dirasakan menjadi kegemaranku. Suatu hari, bila ibu bawakan aku lepat pisang makanan kegemaranku aku jadi begitu terharu lalu aku menangis teresak-esak. Tapi aku hanya menangis dalam diam-diam. Aku terlalu menghargainya tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk meluahkan. Aku tidak mahu dia melihat aku seperti terlalu berharap akan kasih sayangnya.

Saban hari ibu menemani dan menyuapkanku makan, aku mula sedar betapa ibu juga menyayangiku, cuma mungkin dia tidak atau kurang menunjukkan perasaannya. Aku jadi malu kerana sering beranggapan ibu menyisihkanku. Beranggapan yang ibu tidak mengendahkanku semata-mata kerana dia tidak pernah membelikan apa-apa untukku. Setiap kali ibu ingin pulang, aku teringin sekali memeluk dan mencium pipi ibu, tetapi aku rasa janggal dan malu untuk melakukannya. Aku hanya mampu mencium tangan ibu seperti selalu.

Aku tidak mengharapkan ibu menemaniku setiap hari. Bukan kerana aku tidak suka, tetapi aku tidak mahu dia menghabiskan wang semata-mata untuk berulang alik dari rumah ke bandar. Pendapatan ayah bukanlah besar sangat. Tambahan adik lelaki masih belajar di menengah. Pembedahanku pula terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan wang. Aku terpaksa mendahulukan wang biasiswaku tetapi ia masih tidak mencukupi.

Semalam, ibu tidak mengunjungiku. Hari ini juga tidak. Hanya Ayah yang terpacul tengahari itu dengan membawa khabar gembira. Wan g yang dikumpul telah mencukupi dah aku akan dibedah secepat mungkin. Bila aku bertanyakan ibu, Ayah menyatakan ibu tidak berapa sihat dan tidak dapat datang. Aku menunggu hari esok dengan sabar.

Pagi itu aku disorong ke bilik pembedahan. Aku tidak tahu berapa lama pembedahan tersebut. Bila tersedar aku melihat wajah ayah dan kedua kakakku di sebelah. Aku mencari wajah ibu tetapi tiada. Sedang wajah-wajah didepanku terlihat mendung dan muram. Aku tidak tahu apakah mereka tidak gembira melihat aku selamat dibedah.

"Mak mana, ayah?'Aku bersuara perlahan. "Kenapa mak tak datang?" Ayah tidak menjawab sebaliknya hanya memandangku dengan mata yang mula berkaca.

Setelah berkali-kali aku bertanya, Ayah memelukku erat sambil berbisik ditelinga. Aku terjelepuk dan tidak sedar diri selepas itu.

Kata ayah, ibu baru semalam disemadikan. Ibu tidak dapat diselamatkan setelah parah dilanggar motorsikal dari belakang. Aku tidak dapat menahan hiba bila ayah menyatakan, ibu baru saja beberapa langkah keluar dari sebuah kedai pajak apabila tubuhnya disambar motorsikal yang dipandu laju. Ibu dikejarkan ke hospital dan sempat menyerahkan bungkusan itu sebelum menghembuskan nafas.

Kata ibu, bungkusan itu untuk aku. Tanganku terketar-ketar saat membuka bungkusan kain perca itu. Terlihat sebentuk cincin halus yang bermata satu. Cincin itu untuk aku. Ibu telah menebus semula cincin itu untuk dihadiahkan kepadaku. Bila aku harusmenjalani pembedahan, dan wang yang terkumpul masih belum mencukupi, ibu telah menggadai semua barang-barang kemasnya hingga tiada satu yang tersisa. Hanya tinggal cincin itu untuk diberikan kepadaku. Ibu bercadang untuk memberikannya kepadaku bila aku sembuh nanti.

Akhirnya, ibu berikan juga aku sebentuk cincin. Bukankah itu yang selalu aku harapkan selama ini? Adakah ia telah dapat membayar segala rasa iri hatiku selama ini? Tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu sepi. Aku rasa seperti telah ditinggalkan jauh oleh orang yang amat aku perlukan .Kenapa baru sekarang aku sedar segunung intan permata pun tidak akan mampu menandingikebahagian memiliki seorang ibu. Dan segunung intan permata juga tidak dapat membayar air mata seorang wanita yang telah melahirkan aku.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

No comments:

Post a Comment


♥ Tinggalkan Jejak anda disini ♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...