"Din, bila kau nak balik Malaysia ni? Mak dah lama benar tak nampak kau dalam rumah ni".
"Din tak dapat cutilah mak tahun ni. Tengoklah, Din cuba usahakan balik hujung tahun ni, ya mak?", jawabnya lemah. Dia mengeluh sekejap.
"Dah 3 tahun kau tak sambut raya kat rumah ni. Mak teringin nak kau ada kat sini waktu raya nanti. Mak bukan apa Din, mak sunyi kat sini," kata ibunya. Tersekat-sekat suaranya seolah menahan sebak di dada. "Sejak ayah kau dah tak ada, dah tak ada sapa-sapa lagi di rumah ni. Along selalu sibuk, tak habis-habis dengan kerjanya. Nak harap Angah datang bertandang ke sini, jauh sekali. Asyik dengan bininya saja. Tahun ni belum tentu lagi balik beraya di sini. Selalu sangat beraya di kampung bini dia. Si Hana jauh di UK sana belajar. Siapa lagi yang nak temankan mak ni Din".
"Mak, kalau Din boleh balik, memang Din balik rumah beraya tahun ni dengan mak. Tapi Din kerja jauh mak. Rezeki Din ada kat sini. Mak, Din janji dengan mak, Din minta cuti sebulan hujung tahun ni. Din balik M'sia dan duduk dengan mak untuk sebulan. Ya mak?". Itu saja yang mampu dia katakan pada ibunya.
Hari ini tinggal lagi seminggu untuk umat Islam menyambut Aidilfitri. Din masih lagi sibuk dengan tugasannya di pejabat. Kadang-kadang dia habiskan seharian suntuk di pejabat. Bidang tugasnya sebagai jurutera ternyata menghalang dia untuk bersenang-senangan seperti kawan-kawannya yang lain. Kebetulan dia telah pun ditugaskan untuk mengurusi satu projek baru. Lelah dirinya apabila terlalu banyak perkara yang perlu dia bereskan.
"Hello Along, assalamualaikum".
"Hello...haa..apa citer kau telefon ni? Kau balik tak raya ni, Lang?".
"Insya Allah balik. Tapi kau jangan cerita pada mak pulak pasal ni. Saja aku nak buat surprise kat mak," balas Din."Kau jangan Lang. Mak tu bukannya sihat sangat sejak dua menjak ni. Karang kau tiba-tiba tercegat depan pintu rumah tu, mati terkejut mak nanti!".
"Aishh, ada ke situ pulak. Nak sangat ke mak mati?!", Din meninggikan suaranya sedikit. "Idak ler, tapi sekurang-kurangnya kau bagi tahu pada mak dulu. Jangan nak buat terkejut-terkejut ni. Kau pun tahu perangai mak, bukannya suka sangat terkejut ni," jelas Along. "Haa, iya lah..iya lah. Eh, mak ada tak? Aku nak cakap dengan mak kejap".
"Haa, kau tunggu kejap. Aku panggil mak," balas Along lagi.
"Hello Din, ni mak ni". Sedikit-sedikit terdengar di cuping telinga Din suara ibunya serak."Mak, mak apa khabar?"."Mak sihat ni. Batuk sikit-sikit. Agaknya badan mak sejuk gamaknya. Eh, ni apa cerita telefon rumah rajin sangat ni? Selalu telefon sebulan sekali ajer," soal ibunya."Saja ajer mak. Hari ni Din kurang busy sikit. Kebetulan terasa nak sembang dengan mak pulak hari ni".
"Oh ye ke? Haa Din, ingat tak si Hafizah anak Pak Wan depan rumah tu? Dia dah nak nikah lepas raya ni"."Haa, Din ingat dia mak. Dia nikah dengan siapa mak? Alahai, rugilah Din macam ni mak! Dah la lawa budaknya tu. Putih gebu kan dia mak? Din baru ingat nak masuk mengurat anak makcik Ani tu," kata Din sambil tergelak-gelak. Geli hatinya bila dia menyebut tentang hal mengurat anak dara jirannya."Padan muka kau Din. Mak dah suruh dari dulu lagi tapi kau tak nak. Asyik sibuk memanjang pasal belajar. Kau ni pulak Din, bila nak kahwinnya? Umur dah nak masuk 30. Nak jadi bujang lapuk ke?", soal orang tuanya.
"Bujang lapuk pun famous mak. Macam P Ramlee tu kan mak? Mak tak nak ke anak bujang mak ni jadi famous?" sambung Din mengusik ibunya. "Haa..mak tak nak kau jadi macam P Ramlee. Nak kahwin, biar kahwin bini seorang. Kita nak berlaki berbini ni, biarlah kekal sampai akhir hayat bersama. Tak ada bercerai-berai," panjang pula ibunya menyambung 'ceramah'."Alah mak! Din ni, nak cari seorang pun payah gila. Ni kan pulak nak bertambah-tambah bininya. Lagi pun mak, siapalah nak ke Din ni. Muka macam getah sekerap!", jawab Din. Dia tertawa terkekeh-kekeh di hujung corong telefon. "Engkau ni kalau pasal merepek, memang nombor satu. Dari kecik sampai ke besar! Eh Din, mak sakit perut lah. Mak nak ke bilik air ni".
"Alaah mak. Nantilah dulu. Erm mak, hari raya dah dekat ni. Din nak minta ampun kat mak. Mintak ampun sangat-sangat. Din tak dapat balik cuti beraya. Halalkan makan-minum Din selama ni. Din cuma nak cakap, Din rindu sangat nak jumpa mak. Din janji dengan mak, hujung tahun ni Din balik M'sia. Din nak bawa mak balik kampung, gi ziarah kubur ayah sama-sama. Ya mak, ya?" kata Din. Dia cuba sedaya upaya menahan perasaan hibanya."Mak tahu kau kerja kat sana, Din. Mak tak paksa kau balik. Kau ada tanggungjawab kau di sana. Kalau ada salah silap kau dengan mak, dah lama mak ampunkan. Kau kan anak mak juga, sama macam Along, sama macam Angah dan Hana. Kau jangan risau semua tu. Kerja elok-elok sana. Jaga diri baik-baik, jangan lengah-lengahkan sembahyang tu. Itu ajer pesan mak", panjang lebar ibunya beri nasihat.
Ringan sedikit rasa hati Din. Sejuk hatinya bila mendengar tiap pesanan dari ibunya."Eh Din, mak ni sakit perut ni! Mak pergi bilik air dulu! Bercakap dengan kau ni, memang takkan sudah," ujar ibunya lagi. "Haa..ya lah mak. Din letak dulu ya mak? Selamat hari raya mak! Assalamualaikum," balas Din. Tup. Talian telefon sudah pun diputuskan. Din cuma menggelengkan kepalanya sahaja.
*****
28 Ramadhan, 1420.
Din sudah pun mengemaskan segala pakaian yang bakal dia bawa pulang. Segala dokumen perjalanan sudah pun diurusi sebaik mungkin. Dia sempat membeli-belah pada hari semalam untuk dibawa pulang sebagai ole-ole untuk adik-beradiknya. Din pun tak lupa membeli beberapa selendang sutera sebagai hadiah untuk ibunya. Hatinya sudah tidak sabar untuk kembali ke Malaysia. Dia juga membawa pulang seorang temannya untuk diperkenalkan kepada ibu di rumah nanti. Din mahu restu dari maknya sebelum dia meneruskan hubungannya dengan 'kawan'nya itu.
Resah sungguh hatinya ketika berada di Newark International Airport. "Ya Allah, janganlah delay flight lagi macam dulu," ngomelnya sendirian. "Hey Din, are you okay?". Din terkasima sebentar. "Yeah, I'm cool here. It's just that I don't feel easy about this. It has been quite sometimes I've been away from my family. A bit anxious here though!", balasnya lembut. Din tetap tersenyum memandang temannya itu. "By the way Din, did you tell your brother to fetch us at the airport", soal temannya lagi. "Oh yeah, yup. I told Along to be there at 10 am. I'm pretty sure by then we should be over with the immigration...".
"Flight MH90 from Newark to Kuala Lumpur is ready for boarding. All passengers are required to provide the tickets and IDs. Passengers will be called upon through their seat numbers. Row 33 till...."
Din bingkas bangun dari tempat duduknya. Hatinya sudah berasa tidak sabar untuk tiba ke tanahair. "Lisa, shall we?". Lisa menganggukkan kepalanya. Mereka berjalan segera menyertai barisan para penumpang yang bersedia untuk menaiki kapal terbang MAS. Senyuman di wajah Din tidak lekang sejak dia mula sampai ke lapangan terbang. Di hatinya terbayang reaksi wajah ibunya tatkala dia tiba di rumah nanti. "Mesti mak suka aku balik ni," katanya sendirian.
"Welcome to Malaysian Airlines sir, ma'am".
Sudah hampir 21 jam mereka berdua berada di dalam kapal terbang. Sebentar lagi penerbangan MH90 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Pemandangan bandar Kelang yang berbalam-balam dari langit tinggi membuatkan Din semakin tidak sabar untuk mencecahkan kakinya semula ke tanah. Dari jauh lagi dia sudah nampak menara KLCC yang tersergam indah. Begitu juga dengan Menara Kuala Lumpur. Tidak berhenti-henti dari tadi Din menceritakan tentang kehebatan bangunan KLCC kepada Lisa. Lisa cuma tersenyum kelat. Ah, barangkali dia penat dalam kapal terbang. Terperenyuk di kerusi berjam-jam, siapa yang tidak akan lesu. Berkaca-kaca mata Din apabila dia melihat pemandangan KLIA dari tepi tingkat. Hatinya terasa begitu rindu sekali untuk melihat suasana di ibukota nanti. Ingin sekali dia menghirup udara Kuala Lumpur setelah bertahun-tahun meninggalkannya.
Setelah selesai menguruskan urusan paspot dengan Pegawai Immigresen, Din dan Lisa segera meninggalkan kaunter Immigresen dan bersiap untuk menunggu bagasi mereka. Selepas itu keduanya berjalan menuju ke Balai Ketibaan. Dari jauh lagi Din sudah dapat mengenal kelibat Along yang diam berdiri. Dia nampak Along tersenyum, tapi senyumannya tidak seceria seperti yang sepatutnya.
"Assalamualaikum. Lama ke tunggu kita orang?", tanya Din."Wa'alaikumsalam. Tak lama sangat. Dah, tak usah berlengah lagi. Kita balik rumah terus ya?" ujar Along. "Eh nanti dulu. Ni, perkenalkan, Lisa," kata Din. Along menganggukkan kepalanya seraya menatap wajah Lisa. Lisa tersenyum. "Lisa, this is my brother, Along". "Assalamu'aleikum, nice to meet you," katanya. Along sedikit terkejut. "Oh Long, dia saudara baru kita. Okay, cepatlah, orang pun tak sabar nak jumpa mak ni," ujar Din lagi.
Riak wajah Along segera berubah.
"Hmm..marilah. Cepat sampai, cepat kita jumpa mak," jawab Along.
Setibanya mereka di rumah, Din merasa hairan apabila melihatkan ramai orang berkumpul di halaman rumahnya. Ramai pula yang berketayap dan bersongkok hitam berhimpun seolah-olah ada keramaian. Hatinya mulai berdebar dan rusuh sekali.Kedengaran suara orang ramai membaca surah Yasin. Dia segera memandang Lisa dan abang sulungnya. Lisa sendiri keliru. "Along, kenapa ni? Ada apa kat rumah kita ni Long?". Din nampak Angah bersongkok sedang sibuk mengedarkan naskhah Yasin kepada orang ramai. Along berpaling dan memandang wajah Din."Lang, mak kita dah tak ada. Mak sakit tenat sejak dari malam tadi. Katanya perutnya sakit. Aku bawak mak pergi ke hospital tengah malam tadi," jelas Along. Nyata di wajahnya kemurungan yang teramat sangat.
Sejuk kepala lutut Din mendengarkan berita itu. Bergetar seluruh tubuhnya seolah-olah tidak mahu menerima berita kematian ibunya. "Mak sakit apa Long?". "Aku tak tahu. Doktor beritahu pagi tadi, perut mak ada banyak asid sampai berlubang dinding perutnya. Kata doktor lagi, mak lambat sangat dapatkan rawatan di hospital. Ulser di perut dia jadi makin parah. Aku cuba telefon kau malam tadi tapi tak dapat," jawap Along.
Belum sempat Along menghabiskan kata-katanya, Din sudah pun segera berlari masuk ke dalam rumah. Ditinggalkannya bagasi di luar begitu saja. Dia nampak sekujur tubuh ibunya terbaring di ruang tamu dengan ditutupi oleh sehelai kain batik jawa. Angah bangun segera dari tempat duduknya. Din terduduk di hujung kaki jenazah ibunya. Tak mampu lagi rasanya untuk dia berdiri lebih lama lagi. Pak Long datang menghampirinya dan cuba menenangkan keadaannya. Din bungkam seketika. Dia seperti keliru. Pak Long angkat sedikit hujung kain batik sehingga mendedahkan wajah pucat ibunya. Air mata segera terhambur keluar dari celah-celah kelopak mata Din.
"Mak..Din dah balik rumah ni. Kenapa mak pergi dulu? Sampai hati mak pergi dulu. Kenapa mak tak tunggu Din sampai rumah," Din memeluk jenazah arwah ibunya. Beberapa orang jirannya menyeka air mata mereka melihatkan ratapan Din. "Mak, Din bawa bakal menantu Mak. Nama dia Lisa, mak. Dia berhajat sangat nak jumpa dengan mak," rintih Din sambil dia mencium-cium wajah lesu dan kaku ibunya. Lisa berdiri tegak di pintu rumah. Dia sendiri mengalirkan air mata melihatkan keadaan Din meratap hiba kehilangan satu-satunya orang tuanya itu. Along segera meminta isteri Angah mendapatkan Lisa dan bawa dia masuk ke dalam bilik.
"Din, mak kita dah balik dijemput tuhan. Usah kita ratap-ratapkan lagi. Terseksa roh mak nanti, Din. Kita doakan arwah mak bahagia di sana," kata Along lembut. Din masih lagi tersedu-sedu. Dadanya terasakan sesak hingga dia berasa sukar untuk bernafas. "Din, kau banyak-banyakkan mengucap. Bawak bertenang Din," sambung Pak Long pula.
"Mak...Din minta ampun mak sebab Din tak bagitau mak yang Din nak balik. Din mintak ampun mak sebab Din tak beraya dengan mak lama dah," keluhnya lagi.
Perlahan-lahan Din melepaskan pelukannya. Along dan Angah memapah Din ke tepi. Jiran tetangganya mulai menyambung bacaan surah Yasin yang terhenti tadi. Angah hulurkan senaskhah surah Yasin kepadanya. Din menolak pemberian abangnya itu. Dia sendiri membacakan surah Yasin dengan tanpa dibantu bahan bacaan ayat suci Al Quran itu. Air matanya masih mengalir. Semakin lama semakin deras. Sesekali dia menyeka air matai yang membasahi pipinya. Hatinya hancur sekali apabila dia menyedari hakikat yang ibunya tidak dapat lagi bersamanya lagi. Tamat sudah tempoh emak di bumi Tuhan.
Kini sudah dua tahun emaknya kembali ke alam baqa. Setiap kali Ramadhan tiba ke penghujungnya, Din berasa sayu sekali kerana terkenangkan arwah ibu yang kini bersemadi jauh di dasar bumi itu. Lisa, yang kini menjadi isterinya, sangat-sangat memahami keadaan hati suaminya. "Honey, let's go home. It's about time to break our fast," sapanya lembut. Din berpaling menghadap isterinya, di pipinya masih lagi basah dengan air mata. Dia menatap kedua mata biru milik isterinya dan sejurus kemudian, dia bingkas bangun dan mendapatkan anaknya yang didukung oleh Lisa. "Yeah sure. We better get home before maghrib comes in," katanya seraya menghadiahkan sebuah ciuman ke pipi Lisa. Mereka berdua berjalan bergandingan tangan lalu meninggalkan kawasan perkuburan yang terbiar sepi dan sunyi itu.
No comments:
Post a Comment